Trivia Al-Ghafur



Asmaul Husna ke-34 bernama Al-Ghafur. Kata “Al-Ghafur” ini berasal dari kata dasar gha-fa-ra, sama dengan “Al-Ghaffar” yang merupakan nama sekaligus sifat Allah. Sebahagian Ulama memberi erti yang sama terhadap keduanya, sebahagian lagi menyatakan bahawa cakupan Al-Ghaffar lebih luas dan mendalam jika dibandingkan dengan Al-Ghafur, dan sebahagian lagi sebagaimana pendapat Imam Al-Ghazali bahawa Al-Ghafur lebih sempurna dan menyeluruh pengampunannya.

Di dalam Alquran tidak kurang dari 91 kali menyebut kata Al-Ghafur. Sebahagian besar dirangkai dengan nama dan sifat Allah yang lain, sebahagian yang lain berdiri sendiri. Dalam kebanyakan ayat, kata Al-Ghafuur lebih banyak digandingkan dengan kata Ar-Rahim (tak kurang dari 70 kali). Hal itu memberi kesan bahwa sifat ghafur-Nya lebih merupakan terbitan dari sifat kasih dan sayang-Nya. Ini bermaksud Allah memberi pengampunannya kepada setiap mukmin yang bertaubat dan bersungguh-sungguh meminta pengampunanNya.

Allah berfirman:"Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat, beriman, dan beramal soleh, kemudian ia tetap mengikuti jalan (petunjuk) yang benar." (QS. Thaaha: 82)
Sementara itu mereka yang telah melampaui batas dan tidak serta merta meminta pengampunan sekalipun, Allah tetap berlapang untuk mengampuninya.

"Katakanlah: Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah maha mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (QS. Az-Zumar: 53)
Syamsul Yakin menyebut bahawa di dalam Al-quran Allah mengisytiharkan diri sebagai Tuhan Yang Maha Pengampun atau al-Ghafur, al-Ghaffar, al-Ghafir. Secara bahasa, kata al-Ghafur, al-Ghaffar dan al-Ghafir memiliki kata dasar yang sama iaitu gha-fa-ra. Namun para ahli bahasa memberikan penekanan makna yang tidak sama pada ketiga perkataan itu.
Walaupun semua kata membawa maksud Maha Pengampun, tetapi kata al-Ghafur lebih hebat maknanya berbanding dengan al-GhaffarAl-Ghaffar pula lebih dahsyat kandungan maknanya berbanding al-Ghafir. Manakala dari segi kewujudannya dalam Alquran, kata al-Ghaffar hanya terdapat lima kali dalam Al-quran sedangkan al-Ghafur disebut 91 kali. Sifat Allah Yang Maha Pengampun ini kerapkali disebut bersama dengan kata lain seperti al-Rahim, al-Halim, al-‘Afuw dan lainnya.
Berdasarkan penelitian para ahli, hanya dua kali kata al-Ghafur yang berdiri sendiri. Dalam perspektif Al-quran, ketika seorang memohon keampunan Allah, itu bererti yang diminta dari Allah adalah penghapusan dosa serta pemberian maaf. Misalnya: “Tidak ada doa mereka selain ucapan: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir” (QS. Alu Imran [3] ayat 147). (Seri Asmaul Husna: Al-Ghafur, Syamsul Yakin, 2017).

0 Comments