Sajak yang tidak seberapa ini dinukil pada hari Khamis, 2 Julai 2009 bersamaan 9 Rejab 1430h, sebelum pulang ke Pahang untuk menziarahi arwah bonda tercinta, ia merupakan sekadar luahan hati yang sememangnya sudahpun dapat merasakan sesuatu akan berlaku pada diri ini. Akhirnya, dengan takdir Ilahi jualah, ia telahpun menjadi suatu yang realiti. Sajak ini tidak dapat di"posting"kan pada hari ia dicipta kerana batasan waktu serta gangguan internet yang berlaku. Duhai ibu tercinta, moga berbahagia di sana, moga dicucuri limpah rahmat dan kasih sayang tuhan ke atas rohmu.
KEBAHAGIAAN ITU…
Di ufuk itu
Ku lihat mentari senja semakin menyerlah
Mengaburkankan sedikit demi sedikit kontakku
Terhadap segala kebahagiaan yang ada
Cahaya mentari pagi
Sudah lama berlalu
Digamit terik mentari
Kadangkala menyesakkan aku
Tidak kurang juga mencurah kenikmatan
Namun…
Ia terus pergi
Tidak selamanya akan terus dinikmati
Kerna..
Ia menurut hukum alam hakiki
Mematuhi kehendak takdir Ilahi
Kebahagiaan di sekeliling semakin pahit untuk dirasai
Semakin kurang madunya
Aku sedayanya mencuba
Untuk mengembalikan kemanisan bahagia itu
Ditambah gula, diimbangi dengan secubit garam
Agar ia dapat dinikmati lagi
Tetapi…
Usaha itu hanyalah usaha
Tidak mampu melawan kehendakNya
Keasliannya sudah tidak asli
Akan pasti ia menunggu pergi
Tiada yang kekal selainNya
Tapi…
Bilakah saat itu
Amat bergetar hati
Melepaskan pemergiannya
Kebahagiaan selama ini
Akan bertukar kepada kesedihan
Akan menjadi sengsara
Akan luput jua akhirnya
Kebahagiaan itu akan pergi
Kebahagiaan itu akan pergi
Ia akan pergi
Gelap malam pasti datang jua akhirnya
Memadamkan segala suka
Kebahagiaan itu akan pergi
dan
akan hilang buat selamanya…
Nukilan hati…minannafsi
1 Comments
smoga roh ibunda dcucuri rahmat..